Di petik dari Utusan Malaysia
Kenyataan rasmi Istana Perak berhubung pertukaran Pengarah JAIP
02/05/2008 5:56pm
Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan berhubung arahan pertukaran serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan:
Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah, atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin untuk menghadap Baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada Baginda berhubung arahan Menteri Besar Perak supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury selaku Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Bahawa lantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan Agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada Baginda Sultan dan juga kepada Baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.
3. Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
4. Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang Ketua Kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tata cara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
5. Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya Kerajaan Baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat Baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.
6. Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury ditarik balik. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.
Y.D.H. Toh Raja Diraja
Kol. Dato’ Abd. Rahim Mohamad Nor
Setiausaha Sulit kepada
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
2 Mei 2008
--------------------------------------------------------------------
Juga di petik dari Utusan Malaysia
Saya diminta terus terajui MAIPP – Shabudin
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
TASEK GELUGOR 1 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menolak peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Sehubungan itu, Shabudin yang telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 April lalu selaras dengan kehendak kerajaan negeri yang baru telah diminta meneruskan tugasnya sehingga tempoh watikah pelantikan berakhir pada 31 Disember tahun depan.
Menurut Shabudin, beliau bersama ahli majlis MAIPP telah diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan tersebut.
‘‘Tuanku Mizan berpendapat semua ahli majlis (MAIPP) yang lain perlu meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga berakhir tempoh watikah pelantikan.
‘‘Baginda juga meminta segala perancangan dan usaha yang dirancang untuk kepentingan umat Islam sebelum ini diteruskan bagi mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.
Pada 8 April lalu, Shabudin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MAIPP selepas menerima desakan daripada kerajaan negeri pimpinan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu jawatan itu diberi kepada calon baru.
Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR yang sebelum ini mendesak Shabudin meletakkan jawatan selepas pakatan pembangkang menguasai Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.
Shabudin dilantik sebagai Yang Dipertua MAIPP berkuat kuasa 1 Januari 2008 hingga Disember 2009.
Menurut Shabudin, pihaknya yakin perkara tersebut sudah sampai kepada pengetahuan pimpinan kerajaan negeri.
--------------------------------------------------------------------
1. Sultan Perak menitahkan agar Menteri Besar Perak haruslah dilantik dari "seorang Melayu beragama Islam" sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak - Titah Sultan di patuhi.
2. Sultan Perlis memilih Menteri Besar berlainan dari yang di lantik oleh Perdana Menteri - Pilihan Sultan menang.
3. Majlis Penasihat Raja Terengganu memilih Menteri Besar selain dari yang di cadang oleh Perdana Menteri - Pilihan Sultan menang.
4. Putera Mahkota Kelantan memberi titah menyeru kearah perpaduan orang Melayu, yang mana titah ucapan Baginda telah mengundang banyak kritikan dari kaum bukan Melayu - ?????
5. Yang Di Pertuan Agong menolak perletakan jawatan Yang Di Pertua MAIPP kerana di katakan di buat setelah di desak oleh Kerajaan campuran yang baru - ?????
6. Sultan Perak menitahkan Menteri Besar menghadap Baginda dan memberi penjelasan berhubung penukaran serta-merta jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak - ?????
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
TITAH TUANKU PATIK JUNJUNG ATAS BATU JEMALA PATIK!
TIDAK SESEKALI MELAYU MENDERHAKA!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
DAULAT TUANKU!
Friday, May 2, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)