Tuesday, April 29, 2008

MARAHKAN NYAMUK, KELAMBU DIBAKAR

Dipetik dari Sinar Harian, Isnin 28 April 2008.
Kolumn :"KonarBaring"
Oleh : Sang RajunaTapa

(Makluman: Ini hanya petikan/olahan, bukan artikel penuh)

Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Sekiranya pepatah Melayu lama itu boleh ditukar kepada yang baru maka kata-kata yang paling tepat ialah “marahkan ulat bulu, pokok ara ditebang”. Tentu sekali bagi mereka yang berduit, tidak sukar menukar kelambu. Bakar kelambu yang lama, beli sahaja kelambu yang baharu. Tetapi tentu tidak mudah untuk untuk menukar pokok ara, lebih-lebih lagi sekiranya tumbuhan tersebut telah hidup sejak 50 tahun lalu!

Kesal pun tidak berguna lagi, sebab tiga batang pokok kayu ara berusia setengah abad di Sekolah Rendah Kebangsaan Kota Tinggi, Johor telah ditumbangkan minggu lalu. Tetapi sekiranya ada sedikit kewajaran dan keprihatinan pada alam, pokok-pokok tersebut sebenarnya tidak perlu ditebang. Bahawa pokok di kawasan rizab sekolah tersebut telah menjadi tempat pembiakan ulat bulu, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Kalau tidak ada pokok ara yang tiga batang itu pun, ulat gatal tersebut tetap juga akan membiak.

Ulat bulu, sama seperti serangga berbisa yang lain, tidak akan mengganggu kita sekiranya kita pandai menjaga diri dan tidak menyentuhnya. Menutup sekolah selama dua hari adalah jalan pintas untuk mengelakkan serangan serangga tersebut. Sebenarnya sekolah tidak perlu ditutup pun.

Apa yang patut dilakukan ialah membersihkan (menyapu) ulat-ulat bulu yang masuk ke bilik darjah atau kawasan sekolah yang sering dikunjungi murid, termasuk kantin. Murid-murid juga perlu diberi amaran supaya jangan menyentuh ulat tersebut. Kalau tidak disentuh, tidak akan timbul gatal ditubuh.

Ketika zaman penulis bersekolah dulu, serangan ulat bulu sering terjadi. Keliling kawasan sekolah di Hulu Muar, adalah ladang getah. Biasanya musim ulat bulu terjadi ketika ketika daun getah mula gugur. Beribu-ribu ulat bulu ada dimana-mana saja. Di sekolah kena ulat bulu, di rumah pun kena ulat bulu. Tidak perlu ke klinik, tidak ada juga ubat sapu seperti sekarang. Gatal ulat bulu itu hanya disembuhkan dengan menyapu minyak tanah (di kampung dipanggil minyak gas) di bahagian yang gatal. Sepuluh minit kemudian gatal hilang.

Tidak ada pula arahan ketika itu supaya orang kampung menebang pokok getah yang menjadi tempat membiak ulat gatal itu. Ada dua sebab kenapa pokok getah tidak ditebang. Pertama: musim ulat bulu biasanya hanya seminggu, paling lama pun dua minggu. Selepas tempoh tersebut, ulat itu tidak membiak lagi. Jadi, tunggu dua minggu habislah cerita.

Kedua, pokok getah adalah sumber pendapatan orang kampung, lebih-lebih lagi waktu itu harga getah tinggi. Kalau ditebang pokok-pokok tersebut, mungkin orang kampung mati. Bukan mati kerana serangan ulat bulu, tapi mati kebuluran sebab tidak dapat menoreh getah dan tidak ada duit membeli beras. Pokok getah terlalu berharga untuk ditebang.

Orang sekarang cepat panik. Baru diacah ulat bulu – belum peluru berpandu! Sudah hilang kewajaran dan cepat-cepat menebang pokok. Tidak lama dulu di Kedah, sebatang pokok ketum berusia lebih 100 tahun ditebang sebab bimbang remaja mengambil daun pokok tersebut untuk dijadikan minuman khayal pengganti ganja. Pokok ditebang tanpa berfikir, remaja masih menagih dadah juga... Alangkah bodohnya kita!

------------------------------------------------------------

Entah kenapa, saya sungguh tertarik dengan artikel di atas. Tak henti-henti saya tersenyum sepanjang membacanya. Sesekali terkulat. Barangkali rasa terkena atas batang hidung kot...

Ceritanya cerita benar. Cerita biasa. Tapi cara penceritaannya, penuh mesej yang nak cuba disampaikan. Penuh kiasan. Lembut saja lenggok bahasanya, tapi bila terkena, pedih juga. Tak ubah seperti gerak langkah silat Melayu. Lembut gemalai bunga tarinya, tapi keras buah pukulnya.

Jika anda juga mampu tersenyum sinis membaca petikan artikel diatas, harap-harapnya ia adalah atas sebab yang sama saya tersenyum ;-)

3 comments:

Anonymous said...

chehhh,takde lain pasal UMNO kalah la ni takde cerite lain ke boring la cubala masuk blog lain tgk kita cerita pasal apa,jangan pandang belakang????

tokku said...

hehehe...
terpulang la. kalau itu yg saudara nampak, maka itulah dia.

sebenarnya mmg boleh pun nak tengok camtu. saya pun nampak gak version tu. tapi bukan itu je satu2nya version yg saya nampak. terpulang lah penilaian dan pemahaman masing2.

dan kalau kata "jgn pandang belakang", saya juga nampak mesej dalam cerita diatas, apa akan jadi kalau kita langsung tak mau menoleh kebelakang.

Anonymous said...

kalu ye pu pemahaman awak tentang UMNO apa salahnya,kan ahlinya semua melayu salahkah jika saling nasihat menasihati,kalau kata jangan pandang belakang sejarah tidak wujudla tuan.memory otak kita pun tak payah ada la ,betul tak?

saya bangga menjadi bangsa melayu .